PM bertemu Erdogan, zahir solidariti Malaysia kepada Turkiye

Nickyson Nyambar
Februari 15, 2023 20:38 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara untuk menzahirkan solidariti rakyat Malaysia buat Turkiye dalam tempoh sukar ini. -Gambar Wisma Putra
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan solidariti seluruh rakyat Malaysia kepada Turkiye yang berhadapan tempoh sukar ketika ini.
Perkara itu disampaikan ketika bertemu dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara pada Rabu.
"Saya menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dari malapetaka gempa.
"Saya turut menyampaikan ucapan takziah dari rakyat Malaysia serta memaklumkan mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Malaysia," katanya dalam perkongsian di Facebook pada Rabu.
Beliau dalam masa sama turut mengajak semua bersama-sama mendoakan agar peristiwa duka itu segera berlalu dan Turkiye kembali pulih.
Perdana Menteri hari ini tiba di ibu kota Turkiye dengan disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali; Duta Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal; dan Ketua Setiausaha Kementerin Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Perdana Menteri kemudiannya meneruskan lawatan selepas tiba di Ankara ke kawasan yang teruk dilanda bencana di Gaziantep.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang bertemuan membantu mangsa gempa bumi.
Beliau turut melawat kem pasukan SAR negara di Stadium Nurdagi.
Sehingga kini, bencana gempa bumi di Turkiye telah meragut lebih 35,000 nyawa di negara itu.
#Perdana Menteri #Datuk Seri Anwar Ibrahim #gempa bumi #presiden turkiye
;