PM berkunjung ke Bazar Ramadan Putrajaya

Bernama
April 4, 2022 07:03 MYT
Ismail Sabri beramah mesra dengan orang ramai semasa melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Putrajaya 2022 Presint 3, Putrajaya, 4 Apr 2022. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkunjung ke Bazar Ramadan Presint 3 di sini semalam, berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung di bazar itu.
Beliau berkata aspek pematuhan SOP khususnya mengimbas kod MySejahtera perlu dijadikan amalan bagi membolehkan proses pengesanan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya berlaku penularan jangkitan.
"MySejahtera perlu digunakan selalu sebab kita boleh tahu kalau berlaku jangkitan, KKM boleh 'kesan'," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan itu serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar serta membeli juadah berbuka puasa seperti air tebu, air kelapa dan kuih seri muka.
Ismail Sabri dalam tinjauan itu juga menyaksikan ramai ibu bapa membawa anak-anak ke bazar itu dan menasihatkan ibu bapa agar mengelak daripada membawa anak-anak kecil mengunjungi bazar supaya mereka tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.
"Saya minta ibu bapa elak bawa mereka ke tempat yang sesak. Kesihatan keluarga kita adalah tanggungjawab kita," katanya serta menekankan kanak-kanak merupakan golongan yang perlu dilindungi oleh ibu bapa atau penjaga.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Bazar Ramadan #MySejahtera #pematuhan SOP
;