PM berharap inisiatif Pendidikan Sivik KPM dapat bentuk generasi dan negara maju
Fareez Azman
Ogos 13, 2019 13:22 MYT
Ogos 13, 2019 13:22 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap inisiatif yang dijalankan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan pendidikan sivik secara bersepadu di sekolah dapat membentuk masyarakat lebih bernilai sivik.
“Kita mesti ada nilai sivik tinggi oleh kerana kita banyak bergantung ibu bapa, ibu bapa bekerja tiada masa mengajar anak nilai sivik maka kita perlu pindahkan usaha mendidik ini kepada sistem pendidikan kita.
“Mungkin ini akan menambah beban guru, tapi belum ada demonstrasi seperti demonstari khat. Saya fikir didikan sivik ini tidak menjadi beban guru dan anak murid. Hanya untuk mengajar mereka kenapa mereka perlu selalunya bertanggungjawab berdisplin menentukan alam sekitar mereka dibawah jagaan mereka tidak dicemar dengan perbuatan memburukkan iklim alam sekitar mereka,” ujar Tun Mahathir.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir melancarkan Majlis Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysian (KPM) di Putrajaya pada Selasa.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya menjelaskan usaha itu telah dimulakan Jun lalu.
Perlaksanaan secara holistik di semua sekolah seluruh negara itu menekankan Literasi Sivik dan Amali Sivik.
“Pelaksanaannya dilakukan di dalam dan di luar bilik darjah yang melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan kementerian. Literasi Sivik adalah rangkuman pengetahuan kewarganegaraan, sosioemosi kewarganegaraan dan tindakan kewarganegaraan yang tersurat dalam kurikulum dan perlu dikuasai oleh murid.
“Sementara itu, Amali Sivik pula memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan literasi sivik secara praktikal. Pengaplikasian Literasi Sivik dilaksanakan dalam perhimpunan sekolah, aktiviti kokurikulum, dan program sekolah,” ujar Maszlee lagi.
Malah bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan itu, pihaknya telah menetapkan pendidikan sivik dilaksanakan selama satu jam dalam waktu lima mata pelajaran.
“Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Pendidikan Sivik, KPM telah menetapkan Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
“Kita cuba mengelakkan berlakunya pertambahan waktu yang kemudiannya menjadi beban kepada para guru dan murid. Anak-anak kita di pra-sekolah pula akan diajarkan pendidikan sivik selama 30 minit,” kata Menteri Pendidikan itu.
#Islam
#Kementerian Pendidikan
#Mahathir Mohamad
#Maszlee Malik
#nilai sivik
#pendidikan
#Pendidikan Sivik
#Perdana Menteri
#PM
#Putrajaya