PM berbuka puasa bersama barisan Kabinet, menteri besar dan duta asing
Bernama
April 3, 2023 20:34 MYT
April 3, 2023 20:34 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berbuka puasa bersama barisan Kabinet serta Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Seri Perdana di sini.
Majlis itu, yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, turut disertai isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, menteri besar, ketua menteri, duta asing dan barisan penjawat awam.
Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Anwar dalam ucapannya berterima kasih kepada semua yang hadir ke majlis itu hari ini meskipun menerima jemputan dalam tempoh yang singkat.
"Mudah-mudahan Ramadan mengangkat darjat ketakwaan kepada Allah SWT. Manfaatkan majlis ini untuk mengeratkan silaturahim sesama kita," katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran anak yatim dari Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia.
Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan mereka sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.
Seri Perdana, yang dibina pada 1997, merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri.
-- BERNAMA