PM belum putuskan jadi Menteri Kewangan

Hilmi Malik
November 25, 2022 07:07 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini. - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan memegang portfolio di Kementerian Kewangan.
Beliau yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 semalam berkata, tindakan itu merupakan antara usaha untuk mengecilkan saiz Kabinet pentadbirannya.
Namun begitu, Anwar menegaskan, beliau akan meneliti dan mempertimbangkan perkara itu sebelum memutuskan barisan Kabinetnya.
“Kami akan meneliti semua kemungkinan, namun setakat ini saya belum mempertimbangkan (jawatan Menteri Kewangan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Masjid Putra, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada akan memegang jawatan Menteri Kewangan selepas mengambil alih pemerintahan negara susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Anwar mengakui jadualnya begitu padat berikutan beberapa perkara yang perlu diselesaikan beliau meskipun pada hari pertama memulakan tugas sebagai Perdana Menteri.
“Bagus (hari pertama sebagai Perdana Menteri), sibuk dan dibebani dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan,” katanya.
Pagi ini, Anwar memberitahu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini secara rasmi menyertai Kerajaan Perpaduan selepas dimaklumkan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Dengan perkembangan terbaru itu, kerajaan secara jelas mencapai sokongan majoriti dua pertiga Ahli
Parlimen, termasuk penglibatan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sementara mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri pula, Anwar mengesahkan akan menyerahkannya masing-masing kepada wakil daripada Barisan Nasional dan GPS.
#Anwar Ibrahim #Anwar PM ke-10 #Kementerian Kewangan #Kabinet Anwar Ibrahim