PM arah tambah anggota Kastam, Imigresen di Tambak Johor untuk atasi kesesakan

Hilmi Malik
Januari 30, 2023 19:30 MYT
Anwar berkata, kesesakan di Tambak Johor memaksa mereka yang bekerja di Singapura bangun seawal jam 4 pagi untuk mengelak daripada kesesakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penambahan anggota Kastam dan Imigresen serta-merta di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor.
Anwar menyatakan, usaha itu merupakan langkah untuk menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura itu.
Isu berkenaan katanya sudah berlarutan sekian lama tanpa sebarangan jalan penyelesaian yang konkrit.
“Di sinilah pentingnya perbincangan kedua-dua negara (Malaysia-Singapura) untuk sama-sama selesaikan isu ini dan tidak perlu ambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.
“Setiap hari ramai pekerja yang bekerja di Singapura terpaksa bangun seawal jam 4 pagi dan berdepan keadaan trafik yang panjang,” katanya ketika berucap di Majlis Diaspora Malaysia di Singapura pada Isnin.
Mengulas lanjut, perkara itu katanya sememangnya memerlukan pertambahan jumlah anggota bagi mengurangkan isu kesesakan.
Ujarnya lagi, permasalahan tersebut sebelum ini seperti tidak dihiraukan pihak sepatutnya dan beliau yakin perubahan itu akan memberikan kesan yang positif terhadap pengguna harian.
Usaha itu tambah Anwar bukan hanya memanfaatkan warga Malaysia semata-mata bahkan turut memudahkan warga Singapura yang memasuki negara ini.
Pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura di BSI berdepan dengan aliran trafik yang sesak terutamanya ketika waktu puncak setiap hari, membabitkan ratusan ribu individu terutama rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Perkara itu antaranya dipercayai berpunca akibat kekurangan jumlah anggota Kastam dan Imigresen yang tidak mampu menampung jumlah kemasukan dan keluar pengguna harian.
#Anwar Ibrahim #Singapura #Perdana Menteri #Tambak Johor
;