PM arah proses baik pulih kuarters Penjara Sungai Buloh disegerakan

Bernama
Mei 5, 2023 21:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian anggota Penjara Sungai Buloh ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Penjara di Penjara Sungai Buloh hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan proses baik pulih kuarters Penjara Sungai Buloh disegerakan bagi memastikan ia siap menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata bagi tujuan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telah diminta menyegerakan proses baik pulih tersebut.
Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan bagi pemasangan alat penyaman udara di Dewan Tan Sri Murad Ahmad, yang terletak dalam kawasan Penjara Sungai Buloh.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini sebelum meluangkan masa melawat Klinik Penjara Sungai Buloh.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengurusan dan kakitangan Penjara Sungai Buloh yang memberi layanan cukup baik sewaktu beliau berada dalam tahanan.
Mengimbau kenangan sembilan tahun menjadi penghuni di situ, Perdana Menteri berkata ia mengajar beliau erti ehsan, rahmah dan amanah.
-- BERNAMA
#baik pulih kuarters #Penjara Sungai Buloh #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Kementerian Dalam Negeri
;