PM arah pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan
Astro Awani
Mac 4, 2025 17:45 MYT
Mac 4, 2025 17:45 MYT
Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkatkan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkatkan untuk mengelakkan kenaikan harga yang tidak wajar.
- KPDN diarahkan untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Ops Pantau 2025, serta memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
- Perdana Menteri juga mahu strategi intervensi dilaksanakan segera bersama KPKM jika terdapat gangguan bekalan, dan memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, perkara tersebut antara disentuh ketika pertemuan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali hari ini, bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.
Dia menambah, Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.
"Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal.
"Dalam pertemuan ini, Perdana Menteri mengarahkan KPDN untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.
"Ini termasuk memastikan pemantauan dilakukan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sentiasa mencukupi," kata Tunku Nashrul dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul memaklumkan Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sekiranya terdapat gangguan bekalan.
Perdana Menteri turut menambah, bahawa KPDN perlu lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, termasuk bagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.
#Anwar Ibrahim
#Armizan Mohd Ali
#Bazar Ramadan
#Makanan Bazar Ramadan
#CeritaRamadan2025
#Ramadan2025