PM arah PDRM siasat rapi kes Faisal Halim, Zayn Rayyan

Sinar Harian
Jun 14, 2024 15:05 MYT
Perdana Menteri berkata, beliau memahami keresahan rakyat berhubung kezaliman terhadap Zayn Rayyan dan Faisal.
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah untuk melakukan siasatan rapi ke atas kes simbah asid pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ringkasan AI
  • PDRM disuruh menyiasat kes simbah asid Faisal Halim dan pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keresahan rakyat terhadap kezaliman tersebut dan menegaskan keperluan siasatan yang rapi.
  • Anwar Ibrahim telah memanggil Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk memastikan siasatan dijalankan dengan teliti dan segera.

Berucap di Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami keresahan rakyat berhubung kezaliman terbabit.
"Sekarang riuh rendah mengenai kes penderaan pemain bola sepak, pembunuhan seorang kanak-kanak OKU.
"Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia.
"Saya hendak tahu mengapa sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak," katanya di sini pada Jumaat.
"Siapa sampai hati dera dan bunuh dengan kejam seorang anak"- PM
Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah dipanggil beliau berhubung perkara tersebut.
“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang dan menghukum terus kata kita melindungi. Apa yang melindungi?
“Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan. Kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini.
“Tetapi Saya kata cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya kata,” katanya.
Pada Khamis, Faisal Halim yang juga pemain bola sepak Selangor FC muncul kali pertama di khalayak selepas lebih sebulan disimbah asid sulfurik pekat pada 5 Mei lalu.
Menerusi sidang akhbar, beliau mahu individu yang melakukan jenayah terbabit diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.
Kes melibatkan pembunuhan Zayn Rayyan juga mencuri tumpuan negara apabila ibu dan bapanya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya. - Sinar Harian
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Zayn Rayyan #Faisal Halim
;