PM arah KKM, KPM teliti masalah malpemakanan kanak-kanak - Fahmi

Khalis Khadir
Oktober 8, 2024 18:01 MYT
Fahmi menegaskan selepas ini lebih banyak perkara yang menjurus ke arah pemakanan pelajar akan diteliti selain RMT terutama membabitkan sesi persekolahan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) diarahkan meneliti isu berkaitan beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil memberitahu, arahan itu diberikan Perdana Menteri ketika mesyuarat Kabinet pada Selasa sebelum Pelan Strategik Kebangsaan bagi Memerangi masalah berkenaan diumumkan tidak lama lagi.
“Ada beberapa ikhtiar, kalau sebelum ini kita ada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan ada juga dibangkitkan dalam perbincangan ini mengenai sesi persekolahan yang berbeza iaitu sesi pagi dan petang, maka bukan hanya sekadar melihat satu sesi tapi kita ingin lihat menyeluruh.
"Ini adalah satu perkara yang penting dan sangat dekat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita harap menjelang sidang Parlimen kali ini, kita dapat beberapa perkembangan positif khusus berkaitan menguruskan isu ini,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet, di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030 akan memberi fokus mengukuhkan inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan.
Ia menyasarkan kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun termasuk golongan rentan sebagai usaha mencegah masalah berkenaan daripada terus menular.
Kanak-kanak mengalami masalah pemakanan akan membesar menjadi dewasa yang berisiko tinggi menghidap masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang memerlukan pembiayaan rawatan amat tinggi sepanjang hayat.
#malpemakanan #Fahmi Fadzil #Anwar Ibrahim #Kanak-kanak
;