PM arah Jualan Agro Madani diperluas, imbangi kenaikan kos sara hidup

Umavathi Ramayah
Februari 25, 2024 17:17 MYT
Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan Menteri KPDN supaya memastikan jualan tersebut dipertingkatkan.
KUALA SELANGOR: Jualan murah seperti Jualah Rahmah dan Jualan Agro Madani akan diperluaskan bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu beliau sudah mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali supaya memastikan jualan tersebut dipertingkatkan.
"Selain program jualan, Agro Madani juga perlu ditingkatkan kerana jaringannya daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan nelayan dan peladang begitu besar dan perlu dikurangkan permasalahannya untuk menurunkan harga barangan.
“Jadi, apa lagi masalah dibangkitkan oleh rakyat, kos sara hidup, barang makanan, ada langkah diambil... tentunya pengeluaran dibesarkan secara bersungguh-sungguh oleh KPDN dan KPKM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, negara berisiko berdepan isu keselamatan melalui jaminan makanan sekiranya pesawah-pesawah bertindak mengubah pertanian mereka dari pada tanaman padi kepada tumbuhan lain semata-mata untuk meningkatkan pendapatan.
“Saya sendiri sudah bercakap dengan pengurusan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) dalam Mesyuarat NACCOL baru-baru ini supaya mencari jalan import beras dan juga pengeluaran tempatan dinaikkan, tiada masalah," jelasnya.
Sebelum ini, Anwar yang mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memberi tempoh hingga 20 Mac depan kepada KPKM untuk memuktamadkan isu harga padi dan beras.
Beliau berkata penetapan harga barangan asas itu memerlukan sedikit masa untuk dimuktamad bagi mengimbangi keperluan pengguna dan pesawah supaya kedua-dua kumpulan tidak terbeban.
#Anwar Ibrahim #Jualah Rahmah #Agro Madani #kpdn
;