PM Anwar ziarah Adun Hulu Kinta
Bernama
Januari 28, 2024 13:58 MYT
Januari 28, 2024 13:58 MYT
IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad di rumahnya di sini.
Anwar hadir bagi menyampaikan takziah atas pemergian bapa Muhamad Arafat yang meninggal dunia pada usia 76 tahun, akibat sakit tua di Hospital Fatimah di sini, kira-kira 1 tengah hari semalam.
Anwar sempat beramah mesra dan meluangkan masa kira-kira 10 minit dengan para tetamu yang hadir di rumah Muhamad Arafat, sebelum pulang.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang juga Pengerusi PKR Perak.
Sementara itu, Muhamad Arafat ketika ditemui berkata bapanya itu telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan sejak dua minggu lepas akibat pelbagai komplikasi seperti jangkitan paru-paru dan penyakit darah tinggi.
"Jenazah bapa disembahyangkan di Masjid Jamek Tanjung Rambutan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, pagi tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
-- BERNAMA