PM Anwar ulangi komitmen Malaysia jayakan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan
Bernama
September 17, 2024 22:26 MYT
September 17, 2024 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi komitmen Malaysia dalam menjayakan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan seperti yang dimeterai bersama 192 negara lain pada 2015.
Beliau berkata walaupun Malaysia mencatat prestasi baik dalam petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terkini dengan mencatat 43 peratus berbanding purata dunia sekitar 17 peratus, pencapaian itu tidak membawa sebarang makna signifikan jika prinsip keadilan, ihsan dan kesejahteraan alam sekitar tidak diberi penekanan.
"Insya-Allah, kerajaan beriltizam memperkasa aspek kemampanan di bawah gagasan MADANI berpaksikan pembangunan yang seimbang, bernuansakan citra Malaysia yang unik," katanya dalam perkongsian di laman Facebook.
Semasa merasmikan Sidang Kemuncak SDG 2024 hari ini, Perdana Menteri berkata Malaysia mencapai 43 peratus daripada keseluruhan 248 petunjuk terkini SDG jauh mengatasi purata dunia pada 17 peratus.
Beliau berkata prestasi itu jelas memberi petanda bahawa Malaysia berjaya mendepani cabaran menerusi pembaharuan namun ia bukanlah satu jaminan yang kekal.
Agenda 2030 adalah komitmen global ke arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif dengan 17 SDG serta 169 sasaran.
-- BERNAMA