PM Anwar ucap takziah kepada keluarga tiga pelajar UiTM maut kemalangan
Astro Awani
Oktober 10, 2024 15:15 MYT
Oktober 10, 2024 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun, Terengganu semalam.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga tiga pelajar UiTM Dungun yang meninggal dunia dalam kemalangan di Dungun, Terengganu.
- Tiga pelajar tersebut, Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, meninggal dunia setelah dua motosikal mereka dirempuh oleh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita.
- Pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental telah dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.
Anwar berkata kemalangan tersebut sangat menyayat hati, dan beliau sendiri turut terkesan dengan kejadian itu.
"Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan yang sewajarnya," kata Anwar menerusi hantaran di platform X hari ini.
Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.
Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke universiti selepas makan malam dilaporkan turut diseret hampir 60 meter.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.