PM Anwar ucap takziah kepada keluarga mendiang Ananda Krishnan
Bernama
November 28, 2024 18:51 MYT
November 28, 2024 18:51 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga taikun perniagaan Ananda Krishnan yang meninggal dunia hari ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ananda Krishnan dan mengingatkan sumbangan besar mendiang dalam dunia korporat, filantropi, dan kemasyarakatan.
- Berita kematian Ananda Krishnan, 86, disahkan oleh syarikat pegangan pelaburan Usaha Tegas Sdn Bhd.
- Ananda Krishnan adalah lulusan Harvard Business School, pengasas Usaha Tegas, Maxis Communications, dan MEASAT Broadcast Network Systems, serta salah seorang individu terkaya di Malaysia.
Beliau berkata sumbangan mendiang dalam dunia korporat, filantropi dan kemasyarakatan pasti akan terus diingati.
"Terima perkhabaran pemergian mendiang Ananda Krishnan hari ini. Saya utus takziah buat keluarga mendiang dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Berita kematian Ananda, 86, disahkan oleh syarikat pegangan pelaburan yang diterajui mendiang iaitu Usaha Tegas Sdn Bhd menerusi satu kenyataan.
Ananda, atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan atau T. Ananda Krishnan, adalah antara tokoh perniagaan terkemuka Malaysia dan disenaraikan sebagai seorang daripada individu terkaya di negara ini.
Lulusan Harvard Business School, beliau memulakan Usaha Tegas sebelum mengasaskan Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.
Kepimpinan beliau telah mendorong Maxis menjadi antara penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.
-- BERNAMA