PM Anwar ucap tahniah kepada penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat hari wilayah

Bernama
Mac 7, 2025 17:45 MYT
Anwar mengucapkan tahniah kepada 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025, hari ini.
"Moga terus berbakti sepenuh hati dan bulatkan iltizam kepada agama, bangsa dan negara," kata beliau dalam catatan di Facebook.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat berkenaan kepada semua penerima di Balairung Seri, Istana Negara.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, turut berangkat ke istiadat berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merupakan antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.
Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim yang mendahului senarai penerima masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu, Fahmi mengetuai senarai sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #ucap tahniah #dianugerahkan Darjah Kebesaran #Sambutan Hari Wilayah Persekutuan #Yang di-Pertuan Agong
;