PM Anwar ucap tahniah kejayaan penganjuran MAHA 2024 - Fahmi

Bernama
September 25, 2024 16:20 MYT
MAHA 2024 yang berlangsung di MAEPS dari 11 hingga 22 September lalu telah mencatatkan kehadiran lebih 5 juta pengunjung, melebihi sasaran yang diletakan sebelum ini iaitu seramai 3 juta orang. -Gambar fail/fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada KPKM atas kejayaan penganjuran MAHA 2024 yang menarik lebih 5.5 juta pengunjung dan mencatat jualan melebihi RM48.5 juta serta MoU dan MoA bernilai lebih RM7.2 bilion.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan beberapa pavilion rumah negeri di kawasan MAHA dikekalkan untuk lawatan delegasi ASEAN tahun depan.
  • Mesyuarat Kabinet turut membincangkan isu kebajikan komuniti India, termasuk peruntukan RM20 juta untuk pembinaan krematorium dan usaha menangani masalah kewarganegaraan dan biasiswa.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu dizahirkan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
"Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah dimulakan dengan ucapan tahniah dan terima kasih oleh Perdana Menteri kepada pasukan KPKM di atas kejayaan pelaksanaan MAHA 2024, yang telah menarik lebih 5.5 juta pengunjung dengan jualan melebihi RM48.5 juta serta nilai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) lebih daripada RM7.2 bilion.
"Ini pencapaian yang sangat-sangat baik," katanya dalam sidang media hari ini.
Selain itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meminta beberapa pavilion rumah negeri yang dibina sekitar pekarangan kawasan MAHA dipertimbangkan untuk dikekalkan.
Fahmi berkata memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan, maka pavilion negeri itu boleh menjadi tapak lawatan bagi delegasi yang datang ke negara ini.
"Tapi ini cadangan yang dibangkitkan, untuk maklumat lanjut boleh rujuk kepada pihak KPKM," katanya sambil menambah Perdana Menteri sangat teruja dengan penganjuran dan juga kehadiran pada program MAHA tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan berkenaan isu berkaitan kebajikan komuniti India.
Beliau berkata Perdana Menteri bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo telah mengadakan pertemuan dengan sejumlah ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Senator daripada komuniti India, semalam.
"Banyak perkara dibincangkan, antaranya isu yang telah diumum oleh Perdana Menteri seperti peruntukan RM20 juta untuk pembinaan sejumlah krematorium di beberapa negeri dan perkara-perkara berkaitan usaha kerajaan bagi menangani masalah seperti kewarnegaraan dan isu biasiswa.
"Ada beberapa perkara lain juga dibincangkan hari ini melibatkan ketua kampung India dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, telah diminta untuk mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #Anwar Ibrahim #MAHA 2024 #pavilion rumah negeri
;