PM Anwar ucap penghargaan kepada Arab Saudi
Shafizan Johari
November 12, 2024 08:30 MYT
November 12, 2024 08:30 MYT
RIYADH: Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Kerajaan Arab Saudi susulan penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam pada Isnin, termasuk usaha-usaha berterusan dalam membantu saudara Islam yang ditindas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, perkara berkenaan disampaikan kepada Perdana Menteri dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman Al-Saud, dalam satu pertemuan pada Isnin.
Pertemuan itu katanya memberi ruang kepada dua pemimpin berkenaan menyentuh pelbagai aspek hubungan Malaysia-Arab Saudi, khususnya soal perdagangan dan pelaburan.
Ini termasuk kerjasama dalam beberapa bidang baharu, antaranya kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, tenaga bersih, serta petrokimia.
Mereka juga sempat bertukar pandangan berkenaan situasi serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Pada pertemuan berkenaan, Anwar turut menjemput Mohammed bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) di Kuala Lumpur tahun depan.
“Malaysia bersedia untuk menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Pertama antara Malaysia dan Arab Saudi di peringkat Menteri Luar bagi membincangkan kerjasama kedua-dua negara dengan lebih lanjut,” katanya.
#Arab Saudi
#Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam
#Anwar Ibrahim
#Putera Mohammed bin Salman Al-Saud