PM Anwar tidak pernah panggil Hamas organisasi pengganas
Bernama
November 17, 2023 19:01 MYT
November 17, 2023 19:01 MYT
SAN FRANCISCO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengkategorikan Hamas sebagai sebuah organisasi pengganas, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
"Mana ada kenyataan baru-baru ini. Mana ada dia cakap, walaupun di Parlimen.
"Ini (dakwaan CLJ) satu sindiran, beliau tidak pernah menyindir (sedemikian). Kita mengutuk semua tindakan keganasan," kata Fahmi yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan kepada media Malaysia mengenai kenyataan Concerned Lawyers for Justice (CLJ).
Fahmi berkata beliau mengikut dengan teliti kenyataan Perdana Menteri sama ada di Parlimen, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atau syarahannya di University of California, Berkeley dan tidak pernah sekali pun Anwar menyebut atau membayangkan Hamas sebagai organisasi bersifat pengganas.
"Saya pohon CLJ teliti semula dan mungkin perbetulkan. Beliau tidak pernah menyindir ... tidak pernah berkata sedemikian," kata Fahmi.
Dalam satu kenyataan, CLJ mendakwa Anwar telah menyindir bahawa Hamas merupakan sebuah organisasi pengganas dan menyuarakan kekecewaan mereka terhadap perkara itu.
"Kami meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan dengan teliti implikasi kenyataannya dan menganggap perkara tersebut dengan perspektif yang seimbang dan berlandaskan fakta," menurut kenyataan CLJ.
Fahmi kini di San Francisco merupakan antara delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30, yang berakhir hari ini.
-- BERNAMA