PM Anwar tiba di Shanghai, mulakan lawatan kerja ketiga ke China
Hasimi Muhamad
November 4, 2024 22:03 MYT
November 4, 2024 22:03 MYT
SHANGHAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Shanghai malam ini sempena lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November 2024, atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao pada pukul 9.50 malam waktu tempatan.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Syed Farizal Aminy Syed Mohamad.
Turut sama menyambut Perdana Menteri adalah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Timbalan Datuk Bandar Shanghai dan Setiausaha Parti Daerah Minhang, Chen Yu Jian.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Ia merupakan lawatan ketiga Anwar ke China sejak menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia pada November 2022, dengan kali pertama lawatan kerja ke republik ini adalah pada Mac 2023 sebelum diteruskan pada September 2023.
Semasa lawatan kerja di Shanghai, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Li Qiang yang dijadualkan pada 5 November bagi membincangkan hubungan dua hala antara susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun lalu.
Anwar juga dijangka menyampaikan ucaptama pada pembukaan CIIE ke-7 esok, dengan Malaysia diberikan penghormatan sebagai "Country of Honour".
Beliau kemudian dijadual merasmikan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), termasuk mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan mengadakan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.
Selepas jadual padat di Shanghai, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja ke Beijing selama dua hari bermula 6 November, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
Selain itu, beliau akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad, lawatan Perdana Menteri ke republik ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.
Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar.
Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.
Sehingga September 2024, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).
Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (AS$ 252.5 juta).