PM Anwar tiba di Kuala Terengganu tinjau keadaan, lawat mangsa banjir
Bernama
Disember 1, 2024 12:20 MYT
Disember 1, 2024 12:20 MYT
KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kuala Terengganu pagi ini bagi meninjau sendiri situasi bencana banjir di negeri itu yang semakin buruk selain menyantuni mangsa.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kuala Terengganu untuk meninjau situasi banjir dan melawat mangsa di pusat pemindahan sementara.
- Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 43,281 orang, melibatkan 11,679 keluarga di 305 pusat pemindahan.
- Sejumlah 12 stesen bacaan paras air sungai di beberapa daerah merekodkan paras bahaya, menunjukkan situasi banjir yang serius.
Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud pada 10.25 pagi sambut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Anwar kemudian mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telaga Papan, Setiu sebelum meneruskan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan Mangkok, Setiu.
Jumlah mangsa banjir di negeri berkenaan terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, melibatkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.
Menurut data terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Besut kekal dengan angka tertinggi iaitu sebanyak 16,084 mangsa, diikuti Hulu Terengganu (7,080), Dungun (6,470), Setiu (6,332), Kuala Terengganu (2,940), Kuala Nerus (2,307), Kemaman (1,230) dan Marang (775).
Menerusi semakan di portal InfoBanjir, setakat pukul 8.15 pagi tadi 12 stesen bacaan paras air sungai melibatkan empat di daerah Hulu Terengganu, tiga di Dungun, dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Setiu merekodkan paras bahaya.
-- BERNAMA