PM Anwar tiba di Jakarta, lawatan rasmi dua hari bermula
Shafizan Johari
Januari 8, 2023 14:02 MYT
Januari 8, 2023 14:02 MYT
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Jakarta, Indonesia hari ini dijadual memulakan lawatan negara dua hari.
Pesawat khas yang membawa beliau bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 1.57 petang waktu tempatan.
Anwar berdepan dengan jadual padat sempena lawatan sulung ke luar negara itu, sejak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas.
Pengisian utama adalah pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Istana Bogor, yang antara lain bakal membincangkan soal kerjasama dua hala termasuk dalam menangani cabaran serantau dan global.
Anwar juga dijadual memberikan syarahan perdana bertajuk Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia sempena sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di Jakarta, selain bakal ditemu bual secara eksklusif CNN Indonesia.
Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Menyentuh tentang isu antara kedua-dua negara, perkara yang dijangka menjadi teras perbincangan adalah mengenai kerjasama ekonomi, potensi pelaburan Malaysia di Ibu Kota Nusantara, isu sempadan darat dan maritim, serta hal berkaitan pekerja migran dari Indonesia.
Dalam lawatan itu, lapan memorandum persefahaman antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai, melibatkan projek yang dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.
Pada Januari hingga November 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan global keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan berjumlah RM120.26 bilion (AS$27.31 bilion).