PM Anwar tiba di CIQ Sungai Golok, Narathiwat untuk lawatan kerja

Bernama
Ogos 3, 2024 05:35 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut oleh rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin ketika hadir bagi lawatan kerja di Sungai Golok dan Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
NARATHIWAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, Kuarantin) Sungai Golok di sini, bagi mengadakan lawatan kerja hari ini.
Ketibaan Perdana Menteri disambut rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin pada 11.23 pagi (waktu tempatan Thailand).
Tujuan utama lawatan kerja itu adalah untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, iaitu satu daripada inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara.
Lawatan Anwar turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Anwar dan Srettha juga mengadakan perbincangan mengenai isu dua hala, termasuk isu persempadanan Malaysia-Thailand, inisiatif kesalinghubungan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara dan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.
Selesai sesi perbincangan, Anwar bersama Srettha bergambar kenangan dan bersalaman di hadapan Kompleks ICQS Rantau Panjang, di sini, berhampiran Jambatan Malaysia-Thailand selepas lawatan kerjanya di CIQ Sungai Golok, Narathiwat, Thailand.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Thailand dijangka memulakan projek pembinaan jambatan kedua yang dikenali sebagai Jambatan Kembar di Rantau Panjang-Sungai Golok itu, pada bulan April tahun depan.
Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham dilaporkan berkata penaksiran kesan persekitaran (EIA) akan dijalankan sebelum projek pembinaan bermula, Jambatan Kembar itu akan berfungsi sebagai jambatan kedua, selepas Jambatan Muhibbah yang menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok.
Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok itu akan mempunyai enam lorong bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #CIQ Sungai Golok #Srettha Thavisin #Perdana Menteri Thailand #lawatan kerja #Narathiwat