PM Anwar tiada masalah dengan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan

Ridauddin Daud
Disember 5, 2023 22:07 MYT
Menurutnya, pemimpin dari pelbagai parti dalam kerajaan juga bersetuju dengan dasar Madani dan sentiasa menyokong usaha dilakukan kerajaan.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menghadapi masalah dengan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, pemimpin dari pelbagai parti dalam kerajaan juga bersetuju dengan dasar Madani dan sentiasa menyokong usaha dilakukan kerajaan.
Tegas beliau, konsensusnya adalah memberi tumpuan bagaimana untuk meningkatkan pertumbuhan negara terutama dalam beberapa disiplin dan pendekatan baharu.
Begitupun, tegasnya, reformasi masih perlu tetapi perlu dipilih dan dilakukan dengan bijaksana.
“Jangan berundur. Umpanya sekarang ini, badan kehakiman misalnya. Saya jamin tidak pernah sentuh perjalanan badan kehakiman.
“Siasatan dilakukan PDRM, SPRM dan apabila terkena, ramai yang melompat. Tapi isunya, apakah benar ada rasuah atau tidak?
“Kalau benar, maka jawablah di mahkamah. Perubahan itu berlaku tapi yang pentingnya itu, soal tata kelola.
“Apakah pemimpin masih meneruskan amalan mengaut keuntungan, kekayaan dari negara ini? Itu dapat kita hentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI, RTM dan TV3 pada Selasa.
#Kerajaan Perpaduan #PDRM #SPRM #Rasuah #perpaduan
;