PM Anwar terima kunjungan Presiden Timor-Leste

Astro Awani
Disember 12, 2022 16:10 MYT
Menurut Anwar, Malaysia juga akan terus memberi dukungan kepada negara tersebut dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi. - Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Dr Jose Ramos-Horta di Seri Perdana, Putrajaya pada Isnin.
Melalui pertemuan tersebut, Anwar berkata kedua-dua negara berupaya menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste serta meneroka ruang kerjasama baharu.
Menurutnya, Malaysia juga akan terus memberi dukungan kepada negara tersebut dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi.
Lawatan Khas | Presiden Timor-Leste lawat Malaysia
“Malaysia turut mengesahkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN mengenai pelan hala tuju keanggotaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN.
“Semoga hubungan antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh menerusi pelbagai lapangan kerjasama,” katanya menerusi status dimuat naik di laman Facebook beliau pada Isnin.
Turut menyertai pertemuan itu ialah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin.
Anwar pada Selasa lepas turut mengadakan pertemuan dengan Bilal Erdogan, anak lelaki Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Melalui hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar berkata pertemuan berkenaan diadakan sempena kunjungan Bilal ke Kuala Lumpur.
Malaysia-Brunei | PM dan Sultan Brunei perkukuh hubungan dua hala
Pada 28 November lepas, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar bagi memperkukuhkan hubungan Malaysia-Brunei Darussalam.
Sultan Hassanal Bolkiah yang berkenan memandu sendiri kenderaan yang dinaiki bersama anakanda Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Anwar dari Pangkalan Tentera Udara Malaysia, Subang, tiba di perkarangan Kompleks Seri Perdana pada 12.25 tengah hari.
#Anwar Ibrahim #Timor Leste #Recep Tayyip Erdogan #Perdana Menteri
;