PM Anwar terima kunjungan Menteri Luar Australia
Bernama
Februari 27, 2023 22:35 MYT
Februari 27, 2023 22:35 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Australia, Senator Penny Wong di Putrajaya.
Anwar berkata, pada pertemuan itu mereka berbincang mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama termasuk kerjasama ekonomi, dasar luar dan perkembangan serantau.
"Australia merupakan salah satu rakan rapat dan penting bagi Malaysia. Senator Wong juga menyampaikan salam daripada PM Albanese (Perdana Menteri Australia Anthony Albanese) dan menjemput saya untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia di bawah pelaksanaan CSP (Perkongsian Strategik Komprehensif) di Australia pada tahun ini," katanya menerusi catatan di Twitter.
Wisma Putra dalam kenyataan menyebut, Malaysia dan Australia mempunyai kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, sains dan teknologi, pendidikan, memerangi keganasan, perdagangan dan pelaburan.
Jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 meningkat dengan ketara sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion (AS$20.05 bilion), menjadikan Australia sebagai rakan dagang ke-10 terbesar di peringkat global bagi Malaysia. - BERNAMA