PM Anwar terima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Korea Selatan

Bernama
Mei 24, 2023 10:37 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong Sup (kiri) hari ini. - Foto BERNAMA
LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong Sup di sini.
Kedua-dua pemimpin meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi membincangkan isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala dan serantau.
Antara isu yang dibincangkan ialah mengenai usaha mengeratkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Lee kini dalam lawatan khas tiga hari ke Malaysia sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) yang bermula hari ini hingga 27 Mei.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan delegasi Korea Selatan.
Selepas pertemuan itu, Anwar turut menerima kunjungan Menteri Pengangkutan Somalia Fardowsa Osman Egal sebelum bergerak ke lokasi seterusnya bagi lawatan dua hari beliau ke Langkawi sempena LIMA '23.
Sementara itu, Anwar dalam kenyataan di laman Facebook beliau berkata ruang lingkup pertemuan setengah jam bersama Lee digunakan sebaik mungkin dalam membincangkan isu mendesak seperti kerjasama pertahanan, pendidikan dan pertukaran budaya.
"Kami senada untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala agar lebih harmoni demi kemajuan bersama," katanya.
Mengenai pertemuan dengan Fardowsa pula, Perdana Menteri berkata beliau turut menyentuh keperluan meningkatkan libat urus dengan Somalia dan menerokai kolaborasi yang berpotensi untuk diceburi.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #kunjungan hormat #Menteri Pertahanan Korea Selatan #Lee Jong Sup