PM Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan
Bernama
Mei 2, 2023 18:01 MYT
Mei 2, 2023 18:01 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan Park Jin yang antara lain membincangkan kerjasama memperkukuh hubungan Malaysia-Korea Selatan.
Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung di Perdana Putra di sini sempena lawatan kerja Park selama dua hari ke Malaysia bermula Isnin, dan ini merupakan lawatan sulung Park ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar Korea Selatan pada Mei 2022.
Pertemuan itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata lawatan Park adalah bertepatan dengan sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) oleh Malaysia dan Korea Selatan.
"Lawatan ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, berlandaskan prinsip kepentingan bersama, saling percaya dan kesalinghubungan sesama rakyat," menurut kenyataan Wisma Putra itu.
Pada 2022, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM114.21 bilion (US$25.94 bilion), meningkat 29.3 peratus daripada nilai yang dicatatkan pada 2021.
Korea Selatan juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang dilaksanakan bernilai RM33.0 bilion (AS$9.25 bilion).
-- BERNAMA