PM Anwar terima kunjungan delegasi pimpinan Muhammadiyah
Bernama
Mac 3, 2025 16:57 MYT
Mac 3, 2025 16:57 MYT
Anwar menerima kunjungan hormat delegasi pimpinan Muhammadiyah yang diketuai Ketua Umumnya Prof Dr Haedar Nashir. -Facebook
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat delegasi pimpinan Muhammadiyah, sebuah pertubuhan Islam dari Indonesia yang diketuai Ketua Umumnya Prof Dr Haedar Nashir.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi Muhammadiyah dari Indonesia, diketuai Prof Dr Haedar Nashir.
- Mereka bertukar pandangan mengenai cabaran umat Islam dalam pendidikan, peradaban, dan geopolitik, serta membincangkan idea MADANI.
- Pertemuan ini penting untuk mengeratkan hubungan Malaysia-Indonesia dan memperteguh keyakinan serta iktikad baik untuk terus bekerja keras.
Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata dalam pertemuan itu, mereka bertukar pandangan mengenai cabaran besar umat Islam khususnya dalam bidang pendidikan, peradaban serta perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantau ini.
"Kami juga berbincang mengenai idea MADANI yang telah saya kemukakan peringkat awal di Festival Istiqlal di Jakarta dan bersama pemikir lain dalam mencari perspektif yang lebih tepat berbanding memakai istilah masyarakat sivil, supaya MADANI dipilih kerana ia sarat dengan nilai dan maknanya yang tersendiri.
"Di kesempatan ini juga saya singgung beberapa pengalaman silam dengan tokoh lama Muhammadiyah seperti Buya Hamka," katanya yang turut berkongsi beberapa keping gambar pertemuan itu.
Perdana Menteri dalam pada itu menyifatkan pertemuan berkenaan bukan sahaja penting dalam mengeratkan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia, malah akan memperteguh keyakinan dan iktikad baik untuk terus berkerja kuat.
"Insya-Allah, saya percaya melalui kerja keras dan kemahuan yang tinggi, Malaysia dan Indonesia boleh berkerja rapat dalam mengisi harapan ini," katanya.
-- BERNAMA