PM Anwar tegas tolak rasuah dalam pertahanan negara
Bernama
Februari 27, 2025 13:30 MYT
Februari 27, 2025 13:30 MYT
Anwar (foto) ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ni. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan sesekali membenarkan sebarang pihak dalam sektor pertahanan negara terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan sebarang amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam sektor pertahanan negara kerana ia mengkhianati amanah dan merosakkan keselamatan negara.
- Semua perolehan dalam sektor pertahanan mesti dilakukan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk menggunakan proses tender untuk memastikan keperluan negara dipenuhi tanpa pembaziran.
- Anwar menekankan perlunya memperbetulkan budaya mengaut kekayaan negara demi kepentingan peribadi dan memastikan keadilan dalam pengurusan negara, tanpa membiarkan orang kaya mencuri ratusan juta ringgit tanpa tindakan.
Beliau berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi juga merosakkan keselamatan serta keamanan negara.
"Saya tidak kira besar mana, tinggi mana pun kamu, Saya tidak akan izinkan kerana ini akan mengorbankan, mengkhianati dan merosakkan sistem pertahanan negara kita.
"Saya tidak akan biarkan. Sedaya upaya, saya akan cuba membersihkan (perbuatan rasuah)," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan sistem perolehan yang telus bagi membendung perkara terbabit daripada terus berlarutan.
Anwar berkata semua perolehan dalam sektor pertahanan perlu dilakukan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Semua harus guna proses tender. Saya tidak peduli (anda) dari mana, besar mana, (perlu) ikut proses.
"Nak beli seumpamanya perkakasan digital, kecerdasan buatan (AI) yang baharu, pusat data ataupun senjata (mesti) ikut proses.
"Tentukan keperluan negara, jangan beli kapal (namun) berpuluh-puluh tahun tersadai, berbilion ringgit hilang. Ini kerja yang akan jahanamkan negara, padahal ini soal pertahanan negara," kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata budaya mengaut kekayaan negara demi kepentingan peribadi perlu diperbetul.
"Bagaimana mungkin dalam sistem pengurusan negara dan tata kelola ... kita mohon orang yang gajinya RM3,000 untuk derma RM100?
"Padahal ada orang kaya mencuri ratusan juta ringgit kita biarkan kerana pelbagai alasan politik, ekonomi, dan (belas) kasihan," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#Rasuah dalam Pertahanan
#penyalahgunaan kuasa
#Sistem Perolehan Telus
#Budaya Anti-Korupsi