PM Anwar tangguh program, utamakan kebajikan rakyat dilanda banjir
Bernama
November 28, 2024 18:17 MYT
November 28, 2024 18:17 MYT
KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan program beliau di Tasik Kenyir, Terengganu, yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini, untuk memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang berdepan bencana banjir.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan program di Tasik Kenyir, Terengganu, untuk memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang berdepan bencana banjir.
- Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar Terengganu, mengambil kira situasi banjir yang semakin meruncing di negeri tersebut.
- Setakat 4 petang tadi, Terengganu mencatatkan 14,111 mangsa banjir daripada 4,113 keluarga, melibatkan tujuh daerah. Banjir juga melanda Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, dan Johor.
Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen setelah beliau selesai menghadiri sesi soal jawab hari ini.
"Mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing di Terengganu, saya memutuskan untuk menangguhkan dahulu rencana itu.
"Saat ini, kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan bencana ini menjadi keutamaan dan perlu diuruskan sebaiknya," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.
Anwar turut mendoakan agar mangsa banjir di semua negeri yang terlibat terus tabah dalam mendepani musibah itu.
Setakat 4 petang tadi, seramai 14,111 mangsa daripada 4,113 keluarga direkodkan di Terengganu melibatkan tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Nerus.
Selain Terengganu, banjir juga melanda Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Johor.
-- BERNAMA