PM Anwar sifatkan Malaysia-China sebagai 'sahabat yang hebat'
Hasimi Muhamad
November 5, 2024 19:41 MYT
November 5, 2024 19:41 MYT
SHANGHAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia dan China kini seperti 'sahabat yang hebat' ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Ringkasan AI
- Hubungan Diplomatik Malaysia-China: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia dan China sebagai sahabat yang hebat sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
- Kerjasama Ekonomi dan ASEAN: Malaysia dan China akan terus bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial, dan TVET. Malaysia juga berpendirian bahawa China dan ASEAN harus bekerjasama untuk merancakkan ekonomi rantau ini menjelang kepengerusian ASEAN 2025.
- Pertemuan dan Inisiatif Baru: Anwar mengadakan mesyuarat dua hala dengan Li Qiang untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan meneroka bidang baharu yang menguntungkan kedua-dua negara. Anwar juga menyaksikan pertukaran dokumen berkaitan inisiatif Belt and Road dan MoU antara Bernama dan China Media Group.
Semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya, Li Qiang di The Grand Hall, Perdana Menteri menambah menjelang Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berpendirian bahawa China dan ASEAN harus kekal bekerjasama.
Ia sekali gus jelas Anwar membantu merancakkan ekonomi di rantau ASEAN.
"Saya fikir keadaan berjalan dengan baik, dan kita telah berkembang ke semua bidang.
"Malah kerjasama dalam sektor ekonomi, sosial, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), persefahaman ketenteraan, serta kerjasama dalam melindungi sempadan kedua-dua negara.
"Kita kini adalah dua sahabat yang hebat, dan saya tidak sabar-sabar apabila Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN, seperti yang saya nyatakan untuk menunjukkan bahawa kita harus bekerjasama, China-ASEAN, dan membantu mengembangkan ekonomi ASEAN," katanya di sini pada Selasa.
Hadir sama adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Li bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Kuala Lumpur-Beijing.
Kedua-dua pemimpin membincangkan penerokaan bidang baharu yang boleh memberikan situasi menang-menang untuk Malaysia dan China.
Selain itu, Anwar berkata lawatan Li ke Putrajaya pada Jun lalu adalah detik yang cukup signifikan, bukan sahaja kepada beliau dan kerajaan, tetapi juga kepada rakyat Malaysia.
"Anda telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia.... Anda menghabiskan banyak masa untuk bertukar idea dengan begitu ramai komuniti perniagaan Malaysia, orang ramai, serta ahli akademik.
"Ia pasti itu berita baik untuk saya... Selama berminggu-minggu media akan membuat liputan bahawa anda boleh menjadi 'ancaman' kepada Perdana Menteri Malaysia," katanya berseloroh.
Anwar dalam masa sama menyaksikan pertukaran dokumen antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kerajaan China berkaitan inisiatif 'Belt and Road' (BRI) serta memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Media Group.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja ketiga ke China yang bermula 4 November hingga 7 November.