PM Anwar seru umat Islam hayati Nuzul al-Quran
Astro Awani
Mac 18, 2025 09:30 MYT
Mac 18, 2025 09:30 MYT
Perdana Menteri Anwar menyeru umat Islam untuk terus mentadabbur kitab suci al-Quran dengan mata hati sempena peristiwa Nuzul al-Quran yang diperingati pada 17 Ramadan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk terus mentadabbur kitab suci al-Quran dengan mata hati sempena peristiwa Nuzul al-Quran yang diperingati pada 17 Ramadan.
Dalam satu hantaran di platform X pada Selasa, beliau mengingatkan umat Islam bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, iaitu "Iqra’" (bacalah), menjadi titik tolak kepada era ilmu yang berlandaskan keadilan dan ihsan.
“Al-Quran adalah hidayah dan petunjuk bagi hamba-hamba yang bertakwa.
"Hanya mereka yang menghidupkan Ramadan dengan keimanan serta pengharapan akan merasai kemanisan takwa,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di akaun media sosial beliau hari ini.
Anwar turut mengajak umat Islam untuk mengejar keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini serta berharap agar mereka dipilih untuk bertemu dengan lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Pada hantaran sama, Anwar memetik ayat 185 dari surah al-Baqarah yang menegaskan peranan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh manusia dan pemisah antara kebenaran serta kebatilan.
Perdana Menteri juga mengambil kesempatan mengucapkan salam Nuzul al-Quran kepada seluruh rakyat Malaysia beserta iringian doa agar segala amalan diterima Allah SWT.
Nuzul al-Quran merupakan peristiwa penting dalam Islam yang memperingati turunnya ayat pertama al-Quran kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’ dan disambut setiap tahun pada 17 Ramadan.