PM Anwar seru semua pihak jadi ejen perpaduan, satukan rakyat pelbagai kaum
Bernama
Mac 12, 2025 13:55 MYT
Mac 12, 2025 13:55 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Angkasapuri pada Selasa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan Madani menyatukan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, agama, kaum dan bangsa.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia menjadi ejen perpaduan dan membantu menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
- Beliau menekankan pentingnya menghentikan isu perpecahan dan mengamalkan sikap saling menghormati untuk kesejahteraan negara.
- Perdana Menteri juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan terhadap isu yang sama.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata mesej itu disampaikan Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis Iftar Bersama Pengamal Media di Angkasapuri malam tadi.
"Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri telah bertemu trio DJ Era FM, di mana Perdana Menteri memberi nasihat kepada mereka dan berpesan sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian mereka. Alhamdulillah, mesej Perdana Menteri bukan saja menjurus kepada mereka, namun kepada semua pihak.
"Perdana Menteri juga berharap rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dapat menoktahkan isu perpecahan dan terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta negara sentiasa terpelihara, selain mengamalkan sikap saling menghormati," katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Tunku Nashrul turut menyampaikan penghargaan Perdana Menteri kepada mana-mana pihak yang telah menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
Sementara itu, mengenai perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan terhadap isu yang sama, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjelaskan perkara tersebut sekali lagi.
"Perdana Menteri ingin tegaskan bahawa semua pihak perlu memahami perubahan akta dan undang-undang yang telah diluluskan sebelum ini, hatta berlakunya perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan.
"Sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat tidak tepat akan hal ini, akan hanya mencetuskan persepsi tidak sihat tatkala kita semua dituntut untuk terus menyemai benih keharmonian dan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri hari ini turut mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri dan sebarang keputusan atau hasil perbincangan akan dimaklumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, petang ini.
-- BERNAMA