PM Anwar sertai solat Jumaat bersama jemaah di Masjid India
Bernama
Januari 10, 2025 15:30 MYT
Januari 10, 2025 15:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid India, di sini.
Ketibaan Anwar kira-kira 1.20 tengah hari disambut pengurusan masjid serta jemaah hadir, yang turut mengambil kesempatan untuk bersalaman serta bergambar bersama pemimpin nombor satu negara itu.
Anwar bersama lebih 5,000 jemaah seterusnya mendengar khutbah bertajuk 'Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab' yang disampaikan imam Nasrul Haq Abdul Latif.
Jika lazimnya penyampaian khutbah masjid ini disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Tamil, namun hari ini ia dibaca dalam Bahasa Melayu dan kandungan khutbah itu antara lain mengingatkan tentang empat bulan 'haram' dalam kalendar Hijriah.
Empat bulan haram tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang memiliki kedudukan istimewa kerana amalan kebaikan dilipatgandakan pahalanya, sebaliknya dosa yang dilakukan lebih besar kesannya.
"Bulan-bulan ini dinamakan 'haram' kerana umat Islam dilarang melakukan kezaliman dan peperangan kecuali untuk mempertahankan diri. Pada bulan tersebut lebih besar balasannya berbanding bulan-bulan lain," kata imam berkenaan.
Masjid India ditubuhkan sejak 160 tahun lalu, dibina oleh pedagang India Muslim yang berniaga di kawasan berkenaan (kini dikenali Jalan Masjid India) pada 1863.
Kunjungan ke masjid terpilih di seluruh negara menjadi antara rutin Anwar pada setiap Jumaat sejak menerajui kerajaan pada Nov 2022.
-- BERNAMA