PM Anwar sertai 10,000 hadirin berbuka puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
Firdaus Azil
Mac 10, 2025 20:30 MYT
Mac 10, 2025 20:30 MYT
Lebih 10,000 hadirin termasuk golongan agamawan dan asnaf berkesempatan berbuka puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Lebih 10,000 hadirin termasuk golongan agamawan dan asnaf berkesempatan berbuka puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, pada Isnin.
Ringkasan AI
- Lebih 10,000 hadirin, termasuk agamawan dan asnaf, berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
- Majlis anjuran JAKIM dan Perbadanan Putrajaya itu turut disertai menteri serta menampilkan ceramah khas dan persembahan nasyid Rabbani.
- Program ini bertujuan memupuk semangat ukhwah, kasih sayang, dan kesedaran terhadap golongan memerlukan.
Beliau yang lengkap berpakaian baju Melayu bewarna biru muda tiba di perkarangan masjid sekitar jam 7 malam.
Untuk rekod Majlis tersebut merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (Ppj), serta rakan strategik lagi.
Antara yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee.
Terdahulu, Perdana Menteri bersama-sama hadirin mendengar ceramah khas bertajuk 'Ramadan Pemacu Ummah MADANI' yang disampaikan oleh Datuk Badlishah Alauddin.
Selain itu hadirin turut dihidangkan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan nasyid popular, Rabbani.
Mohd Na'im dalam kenyataan awal memaklumkan, program berbuka puasa itu bukan sekadar peluang untuk berkumpul beramai-ramai tetapi menjadi platform memupuk kesedaran masyarakat mengenai pentingnya nilai kemanusiaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan.
"Melalui inisiatif ini, kita dapat menggalakkan semangat ukhwah, memupuk rasa kasih sayang dan menjalin hubungan lebih erat antara rakyat dan kerajaan," katanya lagi.