PM Anwar selamat tiba di tanah air selepas lawatan ke empat negara

Bernama
November 20, 2024 13:30 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air selepas lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru, dan Brazil. -Bernama
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 Nov lepas sehingga semalam.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air selepas lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru, dan Brazil yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.
  • Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi APEC ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak G20 di Brazil, serta menyeru masyarakat dunia untuk menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB.
  • Anwar menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru, "Order of the Sun of Peru," dan mengundang Presiden Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 2025.

Pesawat yang membawa Anwar tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 11.40 pagi.
Ketibaan Anwar dan delegasi disambut Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan para penyokong.
Lawatan selama 11 hari ke empat negara tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.
Dalam rangka lawatan tersebut, Anwar mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri turut membawa pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin serta mengecam kekejaman Israel di persada dunia selain menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.
Dalam lawatan empat negara tersebut, Anwar turut bertemu pemimpin dunia serta menyatakan komitmen Malaysia dalam memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva antara yang diundang untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.
Semasa lawatan itu juga, Anwar turut menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru iaitu '"Order of the Sun of Peru" atau "El Sol del Peru".
Pingat "El Sol del Peru" atau "Matahari Peru," dengan darjah Gran Cross, dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah, atau presiden pihak berkuasa awam.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #ASEAN #kerjasama strategik #lawatan ke empat negara
;