PM Anwar santuni pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri
Bernama
Mac 11, 2025 23:36 MYT
Mac 11, 2025 23:36 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Angkasapuri. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni pengamal media dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, di sini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Anwar yang tiba sekitar 6.45 petang dengan berpakaian baju Melayu bewarna biru cair, meluangkan masa menyantuni kira-kira 500 pengamal media yang hadir.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada sepuluh veteran media yang diuji dengan masalah kesihatan bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan dikendalikan oleh BERNAMA, bertujuan menyantuni pengamal media.
Pada majlis itu, Perdana Menteri juga meluangkan masa menyempurnakan pelancuran buku Amanat Integriti dan Tatakelola: Malaysia MADANI terbitan Institut Integriti Malaysia.
Usai berbuka puasa, Anwar bersama hadirin menunaikan solat maghrib berjemaah di Masjid Muhammadi di Angkasapuri.
Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata beliau telah menasihati tiga penyampai radio Era FM yang terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berkata beliau meminta ketiga-tiga penyampai radio itu membantu kerajaan MADANI menjadi ejen perpaduan selain menoktahkan isu yang berlaku sebelum ini.
"Saya percaya media punyai peranan penting dalam mengangkat martabat dan nama negara ke tahap lebih tinggi. Terima kasih kepada rakan-rakan serta pelbagai pihak yang bekerjasama menjayakan majlis pada malam ini," katanya.
Pada majlis berbuka puasa bersama media itu, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra bersama rakan-rakan lama, wartawan dan pengurusan tertinggi dalam pelbagai agensi media cetak, dalam talian, televisyen dan radio sebelum menunaikan solat maghrib berjemaah.
-- BERNAMA