PM Anwar sampaikan sumbangan kepada Azman Adnan
Bernama
Jun 7, 2024 12:40 MYT
Jun 7, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Azman Adnan bagi membantu urusan harian dan perubatannya.
Menerusi hantaran di laman Facebook Anwar berkata sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi semasa menziarahi bekas penyerang sensasi Selangor itu semalam.
Perdana Menteri berkata Azman kini menderita sakit tulang kaki sehingga memerlukan rawatan fisioterapi secara berkala.
Selain itu beberapa masalah kesihatan lain menyukarkan Azman melakukan kerja-kerja berat dan terputus sumber pendapatan.
"Semoga saudara Azman cepat sembuh, Insya-Allah," kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA