PM Anwar sambung lawatan kerja ke Belgium dua hari

Astro Awani
Januari 18, 2025 08:00 MYT
Perdana Menteri Anwar akan mengadakan lawatan kerja ke Belgium pada 19 dan 20 Januari ini sebaik selesai tugas beliau di United Kingdom. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Belgium pada 19 dan 20 Januari ini sebaik selesai tugas beliau di United Kingdom (UK).
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke negara tersebut sejak menyandang jawatan Perdana Menteri dan diadakan bagi mengukuh hubungan Malaysia dengan Belgium dan Kesatuan Eropah (EU).
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Kenyataan itu memaklumkan, semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Kerajaan Sementara Belgium, Alexander De Croo bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium.
Tidak ketinggalan pertemuan itu juga memberi ruang untuk memperkukuh kerjasama serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Dalam lawatan kerja ke Belgium juga, Perdana Menteri Anwar dijadual bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa bagi membincangkan usaha memperkasa hubungan Malaysia-EU serta kerjasama serantau.
Kata Wisma Putra juga, selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengetengahkan keutamaan Malaysia dan aspirasi global ASEAN dalam menangani cabaran antarabangsa, serta meneroka ruang untuk mempererat lagi hubungan dialog ASEAN-EU.
“Perdana Menteri juga akan menekankan usaha memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam kerangka yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa depan.
“Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk “Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience” di College of Europe,” kata kenyataan itu lagi.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, mencatat nilai sebanyak RM200 bilion (USD43.71 bilion).
Sehingga kini, sebanyak 1,345 projek pembuatan melibatkan EU telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan berjumlah RM239.90 bilion (USD59.80 bilion), yang telah mewujudkan 155,933 peluang pekerjaan.
Pada 20 Januari ini pula, Perdana Menteri akan berangkat ke Switzerland untuk menghadiri World Economic Forum di Davos.
#PM Anwar Ibrahim #lawatan kerja #PM ke Belgium #Wisma Putra
;