PM Anwar rai rakan sejawat Xanana Gusmao dalam majlis makan tengah hari

Bernama
Disember 2, 2024 13:40 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan rakan sejawatanya dari Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao, pada majlis makan tengah hari. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan rakan sejawatannya dari Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao, pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana.
Xanana Gusmao, yang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, tiba sekitar pukul 11.15 pagi di kediaman rasmi Perdana Menteri itu.
Kedua-dua pemimpin tersebut berkongsi detik ceria sebelum majlis makan tengah hari, dengan bergoyang mengikut irama lagu popular 'Dia Datang', yang dipersembahkan oleh Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, atau lebih dikenali sebagai Aishah pada awal 2000-an.
Anwar meminta lagu tersebut dimainkan semula setelah melihat betapa seronoknya Xanana Gusmao mendengar melodi itu.
Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri delegasi Timor-Leste, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Terdahulu, Anwar dan Xanana Gusmao mengadakan perbincangan dua hala, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Antara topik yang dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, industri halal, pendidikan, pembangunan kapasiti, dan keterhubungan.
Pada 2023, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste berjumlah US$43.7 juta (RM196.7 juta).
Jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste mencatat US$43.3 juta (RM195 juta), manakala jumlah import produk daripada Timor-Leste pula berjumlah US$0.4 juta (RM1.7 juta).
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Timor-Leste #Kay Rala Xanana Gusmao #majlis makan tengah hari
;