PM Anwar rai rakan sejawat Li Qiang dalam majlis makan tengah hari
Bernama
Jun 19, 2024 13:33 MYT
Jun 19, 2024 13:33 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.
Li yang tiba di Malaysia semalam bagi lawatan rasmi tiga hari, disambut oleh Anwar sebaik tiba pukul 12.38 di kediaman rasmi perdana menteri itu.
Majlis makan tengah hari itu juga dihadiri oleh menteri-menteri Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Li sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Anwar di Perdana Putra bagi memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Selain itu kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama antaranya ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.
Lawatan Li itu merupakan julung kalinya diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
Pada 2023 China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.
-- BERNAMA