PM Anwar rafak sembah ucapan tahniah Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak

Bernama
November 1, 2024 11:00 MYT
ANWAR: Semoga Duli Tuanku kekal qarar memerintah rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dengan adil dan saksama. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Anwar mendoakan semoga baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta seluruh kerabat diraja dianugerahkan keafiatan, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah.
"Semoga Duli Tuanku kekal qarar memerintah rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dengan adil dan saksama," menurut hantaran itu.
Sempena ulang tahun keputeraan baginda, seramai 213 individu dianugerahkan darjah kebesaran serta pingat negeri Perak yang akan diadakan dalam dua sesi iaitu pada 9 Nov dan 16 Nov ini di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Sultan Nazrin Shah #ulang tahun hari keputeraan
;