PM Anwar pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama pascarombakan

Astro Awani
Disember 13, 2023 10:40 MYT
Mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan pascarombakan berlangsung di di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Rabu. - Gambar ihsan Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA : Mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan pascarombakan berlangsung di di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Rabu.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan barisan Kabinet baharu Kerajaan Madani, pada pukul 10 pagi.
Anwar difahamkan memberikan taklimat berhubung peraturan, naratif dan hala tuju baharu Kerajaan Perpaduan.
Hari ini juga, kesemua menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik serta yang mengalami perubahan portfolio selepas rombakan Kabinet memulakan tugas secara rasmi.
Kesemua mereka meluangkan masa beramah mesra bersama kakitangan Kementerian masing-masing selain diberikan taklimat tugasan.
Pada Selasa, Anwar mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.
Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.
#mesyuarat Kabinet #rombakan kabinet #kabinet malaysia #Kabinet Kerajaan Perpaduan
;