PM Anwar pengerusi mesyuarat pelaburan China, pastikan tindakan berkesan dilaksana
Bernama
April 5, 2023 16:14 MYT
April 5, 2023 16:14 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat berhubung pelaburan syarikat China di negara ini bagi memastikan tindakan segera dan berkesan dilaksanakan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini susulan keputusan syarikat gergasi China yang bersetuju melabur di Malaysia.
"Saya sendiri bersama rakan-rakan akan turun berbincang dengan kerajaan negeri berkaitan, terutama yang terima sumbangan pelaburan besar dari negara China," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Anwar berkata negeri yang terlibat dengan projek pelaburan dari China diminta mempercepatkan proses berkaitan kemasukan pelaburan itu, di negeri masing-masing.
"Kerajaan negeri dan majlis perbandaran harus memastikan proses-proses (berkaitan) dipercepatkan supaya jangan jadi masalah kepada syarikat, namun peraturan harus dipatuhi sepenuhnya.
"Semua kajian daripada jabatan kena selesai tetapi jangan ambil masa panjang kerana keadaan sekarang kena pacu pelaburan lebih rancak," katanya.
Anwar berkata projek pelaburan dari China melibatkan syarikat Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dan Rongsheng Petrochemical Co, dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya Mei ini.
Projek pelaburan Geely adalah di Pahang dan Tanjung Malim, Perak manakala Rongsheng di Pengerang, Johor dan Terengganu.
"Dua syarikat utama Geely dan Rongsheng merancang melawat Malaysia sebagai tindakan susulan....dan memastikan projek mereka dapat bermula awal," katanya.
Menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri ke China baru-baru, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China, hasil pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan China.
-- BERNAMA