PM Anwar pantau Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Kelantan

Bernama
Ogos 3, 2024 10:00 MYT
Perdana Menteri mendengar penerangan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran ketika meninjau kemajuan tapak projek pembinaan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 di Tunjong hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan lawatan pemantauan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 di Tunjung, di sini.
Anwar tiba di Tunjung pada 3.50 petang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ketibaan beliau disambut Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Dr Ahmad Anuar Othman, serta barisan pengurusan tertinggi JPS.
Anwar turut diberikan taklimat kira-kira 20 minit oleh Ahmad Anuar berhubung perkembangan kemajuan projek pembangunan lembangan sungai itu yang dijangka siap pada 2025.
Sementara itu, Ahmad Anuar berkata PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 di tapak projek di sini, telah mencapai kemajuan 94 peratus siap pembinaannya.
Beliau berkata pembinaan projek bagi Fasa 1 bernilai RM699 juta, manakala Fasa 2 pula melibatkan kos RM1.064 juta.
"Pembinaan projek ini akan mengurangkan masalah banjir dan memberi manfaat kepada 95,000 orang yang terkesan dengan banjir," katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan Perdana Menteri di PLSB Sungai Kelantan, di sini.
Beliau berharap apabila projek ini siap, ia memberi sinar harapan apabila Bandar Baru Tunjong siap sepenuhnya dan tidak akan timbul masalah banjir kilat.
Ahmad Anuar berkata projek itu melibatkan Sungai Seribong dan mengalir ke Sungai Pengkalan Datu dan seterusnya ke laut.
"Projek Fasa 1 telah bermula pada tahun 2018 melibatkan 81 hektar dan dijangka siap pada Julai tahun depan, namun berkemungkinan ia akan siap lebih awal daripada tarikh sepatutnya biarpun ada kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan semasa COVID-19 dan masalah ambil alih tanah.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan #Mohd Nassuruddin Daud #Sungai Kelantan