PM Anwar minta wujudkan Kursi Dr Syed Husin Ali di Universiti Malaya

Bernama
September 21, 2024 18:27 MYT
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis memperingati Prof Dr Syed Husin Ali di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan (IPPP) Universiti Malaya hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar Kursi Dr Syed Husin Ali diwujudkan di mana-mana fakulti Universiti Malaya (UM) bagi mendalami pemikiran sarjana itu.

Ringkasan AI
  • Anwar meminta agar Kursi Dr Syed Husin Ali diwujudkan di Universiti Malaya (UM) untuk mendalami pemikiran sarjana tersebut, dengan persetujuan keluarga beliau.
  • Anwar mengumumkan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia untuk mengkaji dan menerbitkan karya Syed Husin.
  • Kursi ini bertujuan untuk membicarakan pemikiran luas Syed Husin mengenai isu-isu rakyat, kemanusiaan, dan perjuangan, bukan hanya dalam satu bidang tertentu.

Anwar berkata beliau telah meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir supaya segera melaksanakan perkara itu dengan persetujuan keluarga tokoh berkenaan.
"Kursi itu bukan sekadar membicarakan sosok Husin, tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk, kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa.
"...beliau bukan seorang sarjana yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu tetapi mempunyai ruang pemikiran yang sangat luas jadi Kursi Husin itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas, (ia) sebenarnya membicarakan soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Memperingati Prof Dr Syed Husin Ali yang berlangsung di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan UM hari ini.
Allahyarham Syed Husin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 29 Jun lepas akibat kanser.
Sahabat rapat serta rakan seperjuangan Anwar itu terlibat dalam banyak pilihan raya selain merupakan antara tokoh politik yang sudah lama berjuang dalam arena tersebut.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan profesor di UM sebagai pakar dalam bidang sains sosial.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia untuk membantu mengkaji karya serta kajian yang diterbitkan oleh Syed Husin.
"Untuk penulisan dan kajian khusus tentang beberapa karya beliau dan kajian yang boleh diselenggara oleh persatuan, saya umumkan dana RM200,000 untuk tujuan itu dan saya akan luluskan pada minggu depan.
"Beliau seorang yang sangat keras dalam soal tatakelola dan isu-isu rakyat terutama dalam hal kemiskinan rakyat...karyanya banyak menyentuh soal ini," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Kursi Dr Syed Husin Ali #universiti malaya #Zambry Abd Kadir
;