PM Anwar minta MAIWP selaras bantuan zakat bersama agensi lain

Bernama
Februari 18, 2024 13:52 MYT
Anwar merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua, kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu menyelaras penyampaian bantuan zakat bersama agensi lain bagi memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan, mendapat manfaat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi contoh sekiranya tiada penyelarasan, akan ada keluarga mendapat beberapa kali bantuan sedangkan ada keluarga lain langsung tidak dibantu.
“Antara tugas MAIWP supaya ada penyelarasan dengan agensi lain, kalau tidak ada satu keluarga dapat empat kali (bantuan), satu keluarga (pula) tak dapat langsung... jadi saya harap ini diurus dengan baik.
“Kerja menteri, timbalan menteri, pengerusi, bukan sekadar meneruskan kegiatan ini, sebaliknya memastikan setiap dana dan setiap sen rakyat kembali kepada rakyat, dan tak boleh diperalat untuk kesenangan peribadi,” katanya ketika merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.
Anwar juga mahu MAIWP menjalankan tatakelola yang baik dan menghentikan segala perbelanjaan yang tidak perlu, bagi memastikan agensi itu menjadi mercu tanda kebanggaan ummah.
Bagi meningkatkan lagi prestasi agensi itu dan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pengurusan zakat, Perdana Menteri memberi tempoh sebulan kepada MAIWP untuk mengemukakan laporan terperinci serta cadangan langkah baharu.
Anwar berkata perkara itu sekali gus boleh menjadi teladan kepada agensi di negeri lain.
“Tanggungjawab kita (sebagai) generasi penerus ialah memastikan urusan zakat dikendali dengan cermat, sebab itu saya katakan di Pulau Pinang (sebelum ini), bagaimana mungkin kita terima kenyataan, kita kutip begitu banyak wang zakat tetapi masih ada kelompok termiskin yang tak cukup makan, yang tak dapat sediakan uniform anak sekolah, masih tidak diurus.
“Jadi saya berterima kasih kepada MAIWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana membantu proses pelaksanaan zakat dengan baik bersama agensi lain,” katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #MAIWP #zakat #selaras bantuan zakat
;