PM Anwar, menteri Kabinet hadir sambutan Hari Kebangsaan 2024
Bernama
Ogos 31, 2024 08:15 MYT
Ogos 31, 2024 08:15 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri Kabinet hadir sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.
Anwar yang diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Pentas Diraja pada 7.55 pagi bagi menyaksikan perarakan serta persembahan sempena sambutan tahun ini.
Terdahulu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing tiba di Dataran Putrajaya pada 7.38 pagi dan selang tujuh minit kemudian.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Selain itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Yusof serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Acara bertemakan "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" itu juga dihadiri timbalan-timbalan menteri, dif-dif kehormat dan perwakilan asing.
Perarakan dan persembahan tahun ini dijayakan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan.
-- BERNAMA