PM Anwar mahu GLC, GLIC buka lebih ruang kerjaya kepada wanita

Ridauddin Daud
Mac 8, 2023 17:08 MYT
Anwar (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Kasih Wanita pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mahu Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memberi ruang kepada wanita dalam peluang kerjaya dan kenaikan pangkat selepas ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahukan perubahan yang memaparkan kemajuan nyata dalam meningkatkan peranan wanita.
"Saya mahu semua GLC, GLIC ambil perhatian. Semua pelantikan baharu dalam GLC, GLIC, peluang-peluang kenaikan pangkat.
"Saya mahu suatu perubahan, sudah tentu pilih yang berkelayakan, tapi mesti ada kemajuan nyata supaya kita tingkatkan peranan wanita," katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata peranan wanita di Malaysia boleh dibanggakan namun belum mencukupi dan ada ruang untuk diperbaiki.
"Pengiktirafan tidak cukup … masih ada gangguan seksual. Masih ada, bukan diskriminasi tapi kurang pengiktirafan sehingga sebahagian wanita mengeluh.
"Kecekalan, kegigihan mereka tidak diiktiraf sama dengan lelaki. Kita harus sentiasa meneroka pemikiran baharu.
"Kita perlu juga meneroka idea baharu kerana kalau kita lihat dari segi sejarah dalam Islam, pengiktirafan wanita itu sangat penting," ujarnya.
[TERKINI] Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023
Dalam pada itu, Anwar turut menyelar fahaman sesetengah pihak yang memandang remeh peranan wanita, berhujah seolah-olah mahu kemajuan wanita itu dikekang.
"Ada kata urusan mereka (wanita) hanya di rumah tangga. Madani itu tidak akan muncul tanpa kekuatan wanita. Kekuatan keluarga tidak akan mungkin tanpa ada peranan wanita.
"Bagaimana nak hadirkan kejayaan madani? Ia bermula dari rumah tangga dan ia bermula dengan pimpinan ibu yang juga wanita," katanya.
KASIH Wanita dipilih sebagai tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 menggunakan akronim K.A.S.I.H iaitu kasih sayang, akhlak mulia, sihat, ilmu dan harmoni untuk meraikan wanita.
Di bawah KASIH Wanita, komuniti berperanan untuk melindungi kanak – kanak, membantu mangsa keganasan rumah tangga dan memberi kesedaran mengenai antigangguan seksual.
#Perdana Menteri #hari wanita #Anwar Ibrahim #peluang kerjaya
;